Akal Dalam Islam

ISLAM adalah agama yang mementingkan akal. Dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang menyuruh manusia berfikir dan menggunakan akal sebagai contoh yang bermaksud “tidakkah mereka berfikir”, “tidakkah mereka merenung” dan banyak lagi-lagi. Islam bukan satu ajaran yang memaksa pengikutnya mengikut membuta tuli tanpa berfikir. Walaupun begitu, kedudukan akal dalam Islam bukanlah mutlak kerana akal juga mempunyai kemampuan dan had tertentu sepertimana kemampuan mata, telinga yang juga mempunyai had masing-masing. Ada hal-hal tertentu yang tidak mampu difikirkan oleh akal seperti perkara-perkara ghaib (ghaybiyyat), antaranya kewujudan syurga dan neraka, azab kubur dan lain-lain. Dalam hal ini naqal atau wahyu diperlukan untuk menjelaskannya kepada manusia melalui perantara seorang Rasul atau Nabi. Sebagai orang Islam, kita hendaklah pandai meletakkan kedudukan akal di posisi sepatutnya dan tidak melampau. Jangan kita meletakkan akal sebagai sumber ilmu yang mutlak lalu apa yang boleh difikirkan oleh akal sahaja dan adanya bukti empirikal sahaja barulah kita beriman. Jika tiada, maka kita tidak beriman, ini pandangan yang salah kerana apa yang tidak mampu dicapai oleh akal akan disokong oleh naqal samada al-Qur’an atau Hadith Baginda SAW. Begitu juga, jangan kita menjadi kelompok ekstrem yang satu lagi iaitu yang menolak sama sekali peranan akal hingga beriman hanya kepada sumber naqal sahaja. Fungsi akal tidak digunakan, jika tiada nas naqli maka dikira sesat, bid’aah dan kufur sedangkan sepatutnya akal digunakan untuk menilainya berdasarkan neraca syariah dan kaedah-kaedah menerbitkan hukum.

Dalam rancangan Agama dan Peradaban yang bersiaran di radio IKIMfm hari Rabu jam 12.15 tengahari, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd. Zaidi Ismail bercakap tentang “Akal Dalam Islam”.  Perbincangan ini susulan daripada buku beliau yang diterbitkan oleh IKIM sendiri yang telah masuk percetakan kali ketiga. Peri pentingnya akal dalam Islam ini ditekankan dengan panjang lebar oleh para ulama silam namun kurang diberikan penekanan oleh masyarakat pada hari ini. Mungkin salah satu akibat daripada kurang kita memberi penekanan terhadap peranan akal inilah menyebabkan timbul isu kekurangan pelajar yang mengikut pengajian STEM atau sains, teknologi, kejuruteraan (engineering) dan matematik. Apabila berbicara tentang akal, ia bukan merujuk hanya kepada akal fikiran sahaja, walaupun berfikir itu merupakan sebahagian daripada fungsi dan peranan akal. Kedua, seringkali kita melihat seolah wujud pertembungan antara akal dan naqal (wahyu). Lantaran itu kita dapati wujud universiti-universiti yang cuba menggabungkan antara akal dan naqal ini seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia dan lain-lain.

Dalam konteks perkembangan terkini, kita dapati wujudnya perbahasan hubungan antara akal dan otak atau disebut neurosains, saraf dan seumpamanya. Pokok perbincangannya ialah apa perkaitan antara akal dan otak. Adakah otak itu menerbitkan akal atau akal dan otak itu perkara yang sama? Sehingga muncul juga idea kononnya dalam otak itu ada titik tertentu yang menyakini kewujudan Tuhan atau disebut “god spot”. Ini semua bertitik tolak dari persoalan yang timbul samada otak dan akal itu mempunyai kaitan atau tidak. Isu ini semakin rancak dibahaskan di kalangan ilmuwan walaupun mungkin di kalangan masyarakat awam belum lagi menyedari hal ini.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 Februari 2018
\"\"
Scroll to Top