Akal Dalam Islam (Bhgn 7)

DALAM rancangan Agama dan Peradaban siaran radio IKIMfm setiap hari Rabu jam 12.15 tengahari yang diterbitkan oleh Datin Mona Jasman, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd. Zaidi bin Ismail menyambung kembali perbincangan Aqal dalam Islam untuk siri ketujuh menjelaskan tentang makna beberapa istilah yang sering disalahfahami oleh masyarakat hari ini.

Pada siri kali ini beliau membicarakan tentang saluran ilmu yang dimaksudkan dengan perkaitan antara “aqal dan roh” dalam tradisi Islam atau “aqal dan mind/intellect/reason” dalam tradisi Barat. Untuk memahami makna istilah-istilah ini kita perlu melihat kepada misalan-misalan agar mudah difahami. Sebagai contoh manusia atau insan itu mempunyai pelbagai peranan dan fungsi. Seorang insan itu ada peranan contohnya sebagai bapa atau ibu, anak, suami, kawan, rakan sekerja, dan pelbagai lagi. Inilah hakikat yang kita namakan “insan” tetapi dalam masa yang sama mempunyai nama-nama lain juga sesuai dengan peranan dan fungsi yang dimainkan pada ketika itu.

Begitu jugalah istilah-istilah yang sering kita temui seperti kalimah roh, aqal, nafs dan qalb. Adapun “roh” itu sebenarnya adalah entiti yang halus yang bukan bersifat fizikal, tetapi bagaimanakah sifat entiti atau zat roh yang sebenarnya itu maka tiada siapa yang mengetahuinya. Ini sesuai dengan maksud ayat al-Qur’an dalam Surah al-Isra’ ayat 85 yang menyebut “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, katakanlah roh itu termasuk dalam urusan Tuhanku, dan kamu tidaklah diberi ilmu melainkan sedikit”. Walaupun disebutkan di sini ilmu yang diberikan tentang hakikat roh itu sedikit, ia sebenarnya merujuk kepada ilmu Allah SWT yang amat luas. Justeru itu para ulama cuba untuk memahami sedalam mungkin apakah sebenarnya roh itu dari segi peranannya walaupun mereka tidak mampu untuk memahami dari segi hakikat atau zat roh itu, kerana itu adalah rahsia Allah SWT. Inilah batasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Roh mempunyai jelmaan dan kaitan dengan jasad dari segi kemampuan dan fungsi. Sebagai contoh aqal, aqal itu sebenarnya berasal daripada kalimah “iqal” yang membawa makna “belenggu”, yang asalnya digunakan untuk mengikat lutut unta ketika ia duduk untuk mengelakkan unta daripada lari. Unta diikat bukan pada lehernya tetapi pada lututnya. “Iqal” ini juga digunakan oleh orang Arab yang diletakkan di atas kepala mereka bagi mengelakkan selendang kepada daripada diterbangkan oleh angin. Di sinilah fungsi roh yang bertindak sebagai aqal di mana ia mempunyai kekuatan untuk mengikat manusia daripada melakukan perkara-perkara tidak baik, walaupun mungkin secara zahirnya ianya mungkin menyeronokkan. Banyak perkara dalam dunia ini yang tidak elok dan memudaratkan yang tidak diketahui melainkan oleh aqal yang sihat, sebagai contoh makanan segera. Bagi kanak-kanak, ia sesuatu yang menyeronokkan, tetapi ianya boleh memudaratkan jika diambil dengan berlebihan. Begitu juga ketika kita lapar kerana berpuasa, aqal mampu menahan kita daripada makan. Berbeza dengan haiwan yang apabila lapar pasti akan makan. Di sinilah dikatakan fungsi aqal iaitu kekuatan mengikat, dan menahan daripada melakukan sesuatu walaupun mungkin keinginan nafsu dan tuntutan jasadiah meruntun untuk melakukannya.  

Aqal juga mempunyai tingkatan tersendiri sepertimana organ-organ lain dalam diri manusia yang mempunyai tahap kemampuan yang berbeza-beza setiap orang. Namun secara umumnya bolehlah kita buat atau tetapkan had-had tertentu untuk orang biasa walaupun sudah pasti akan ada yang terkecuali daripada kebanyakan manusia namun ada diberi kelebihan oleh Allah SWT mengatasi kebanyakan manusia. Orang yang mempunyai tahap aqal yang tertinggi sudah pastilah dari kalangan para Nabi dan Rasul alaihimussalam.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 27 Mac 2018
Scroll to Top