Akal Dalam Islam (Bhgn 6)

DALAM rancangan Agama dan Peradaban siaran radio IKIMfm setiap hari Rabu jam 12.15 tengahari yang diterbitkan oleh Mona Jasman, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd. Zaidi bin Ismail menyambung kembali perbincangan Aqal dalam Islam untuk siri keenam. Pada siri kali ini beliau membicarakan tentang saluran ilmu yang dimaksudkan dengan “khabar al-sadiq” atau perkhabaran yang benar. Dalam kitab-kitab aqidah, dua-dua digunakan samada “al-khabar al-sadiq” (khabar yang benar) atau “khabar al-sadiq” (khabar oleh orang yang benar). Para ulama membicarakan bagaimana seorang insan lazimnya mendapat ilmu, kefahaman, bukan semata-mata ilmu agama tetapi ilmu secara umumnya ialah tidak lari daripada tiga saluran sepertimana yang pernah kita bicarakan sebelum ini.

Apabila kita menyebut tentang “khabar” ia semestinya berkait rapat dengan mendengar, dan bukankah mendengar itu sudah termasuk daripada salah satu saluran dalam kategori “pancaindera yang sihat”? Sebenarnya walaupun “khabar” ini terkait dengan pendengaran, namun ia berkait dengan bahasa dan bahasa hanya khusus untuk manusia sedangkan haiwan tidak menggunakan bahasa, bahasa dalam ertikata sepertimana yang kita manusia fahami. Kepentingan bahasa dalam penyebaran ilmu ini tidka terkhusus kepada ilmu agama semata, tetapi apa sahaja ilmu samada sains, empirikal, mahupun ilmu-ilmu lain semuanya menggunakan bahasa dan khabar.

Kalau kita ambil buku teks dalam apa bidang matapelajaran sekalipun, sebagai contoh, apakah sebenarnya yang kita temui dalam buku teks? Buku teks itu sebenarnya adalah himpunan “khabar-khabar” (ilmu) yang telah disusun oleh para ilmuwan. Kita semua terpaksa menerima buku-buku teks tersebut sebagai sumber ilmu kerana andaikata kita sendiri ingin membuat kajian dan memeriksa setiap satu persatu dapatan yang terkandung dalam buku-buku teks tersebut barulah kita mahu mempercayainya nescaya ianya pasti mustahil dicapai. Jadi kita terpaksa bersandarkan kepada dapatan, kajian, rumusan yang telah dibuat oleh segolongan cendikiawan. Akhirnya, dalam apa jua bidang ilmu, kita terpaksa bersandarkan kepada sekumpulan ilmuwan yang berwibawa untuk menerimanya sebagai ilmu. Dalam kebanyakan bidang, ada yang dipanggil “hukum” seperti hukum graviti dan hukum-hukum lain dalam sains, ekonomi dan lain-lain. Apabila sekumpulan ilmuwan telah memutuskan itu adalah suatu “hukum” maka kita sewajarnya mempercayai dan boleh menerimanya kerana pembuktian telah pun dibuat dan tidaklah perlu bagi kita untuk mengulang ujikaji dan membuat

Khabar al-sadiq juga ada pecahan-pecahan tersendiri. Ada khabar al-sadiq yang mutawatir yang dikira terkuat. Perkara ini dibincangkan dalam bidang aqidah, tetapi ia terpakai dalam semua bidang. Sebagai contoh wujudnya seorang tokoh bernama “Aristotle” atau Iskandar Zulkarnain. Pemberitaan ini suatu yang thabit, dan dilaporkan oleh setiap generasi oleh orang yang berbeza-beza yang tidak mungkin mereka bersepakat untuk menipu. Jika ada segelintir masyarakat yang cenderung menolak khabar al-sadiq yang mutawatir, maka banyak fakta-fakta sejarah yang kita terpaksa menolaknya. Bahkan al-Qur’an itu sebenarnya adalah berdasarkan pemberitaan yang datang kepada kita melalui khabar al-sadiq yang mutawatir. Kita perlu berhati-hati dengan kelompok yang menolak khabar al-sadiq ini sebagai sebahagian daripada saluran ilmu, dalam semua bidang. Pembicaraan tentang khabar al-sadiq ini sepatutnya tidak membataskan kita kepada saluran bagi ilmu-ilmu agama sahaja, kerana ia terpakai untuk semua ilmu juga. Bukan juga untuk ilmu hadith sahaja sepertimana yang sering disalahfahami oleh segelintir yang melihat kepada isu sanad hadith semata-mata.

Khabar al-sadiq yang mutawatir merupakan khabar yang terkuat yang merupakan khabar yang dibawa oleh sekelompok manusia ramai daripada tempat yang berbeza-beza dan zaman yang berbeza-beza yang tidak terfikir oleh akal bahawa mereka ini akan sepakat untuk menipu.

Adapun dalam ilmu hadith, ia sudah pasti perlu kepada penelitian yang lebih halus dan lebih teliti agar tidak termasuk dalam mendustakan atas nama Nabi SAW.  Dalam hal ini pun, wujudnya perbezaan pandangan di kalangan para ulama hadith khususnya dalam hal ilmu jarh wa ta’dil.  Para ulama hadith sendiri tidak sepakat dalam menentukan status seseorang perawi, ada perawi di sisi setengah ulama diterima (saduq) dan ada di sisi ulama hadith lain pula menolak perawi yang sama. Ini menunjukkan kepada kita dalam ilmu usul hadith ini, ada spektrum yang luas dalam menentukan status sesuatu hadith sehingga ada sesetengah ulama hadith yang tidak memberatkan matan atau lafaz hadith tersebut, tetapi memadai dengan mengambil makna sahaja dan mengembalikan kepada Allah SWT akan lafaznya sebenar sepertimana ungkapan “aw kama qala”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 Mac 2018
\"\"
Scroll to Top