Akal Dalam Islam (Bhgn 4)

DALAM rancangan Agama dan Peradaban siaran radio IKIMfm setiap hari Rabu jam 12.15 tengahari yang diterbitkan oleh Mona Jasman, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd. Zaidi bin Ismail menyambung kembali perbincangan Aqal dalam Islam untuk siri keempat. Ada di kalangan masyarakat yang menolak penggunaan aqal dalam agama kononnya kerana bersandarkan kepada pesanan Sayyidina Ali RA yang menyebut “Sekiranya agama itu dengan ra’y (pandangan), maka nescaya bahagian bawah Khuff itu lebih awla untuk disapu berbanding dengan bahagian bawah, tetapi aku melihat Baginda SAW menyapu bahagian atasnya”.

Dalam hal ini, Dr. Zaidi menjelaskan bahawa di sana perlu difahami apakah yang dimaksudkan aqal terlebih dahulu kerana kerapkali terjadi apa yang dimaksudkan itu sebenarnya berbeza daripada apa yang sebenarnya difahami. Dalam hal ini kata-kata yang disandarkan kepada Sayyidina Ali RA itu sendiri, ada beberapa riwayat yang menyebut di mana Sayyidina Ali menggunakan kalimah “ra’y” dan ada juga diriwayatkan menggunakan kalimah “’aql”. Di sini sendiri kita tidak pasti riwayat manakah yang sahih, dan untuk menentukan riwayat yang sahih itu sendiri memerlukan aqal pun untuk memastikan kesahihannya.

Peranan aqal dalam agama amat jelas sekali khususnya misalnya apabila melibatkan  hal-hal ayat-ayat mustashabihat, di mana dalam al-Qur’an ada disebut bahawa Allah SWT tidak  menyerupai sesuatu pun (laysa ka mithilihi shay), namun dalam ayat-ayat dan hadith lain pun kita bertemu dengan nas yang menyebut tentang “yad” , “istawa”, dan bermaca-macam lagi sifat makhluk yang sering disalahterjemah sebagai “tangan” , “bersemayam” dan lain-lain yang seolah-olah menyamai sifat makhluk. Di sinilah pentingnya peranan aqal untuk sampai kepada maksud sebenar yang dikehendaki oleh Allah SWT dan mengharmonikan seolah-olah semacam wujud pertentangan dalam nas yang disebutkan. Ada nas yang sifatnya utama, primer manakala ada nas yang sifatnya menyokong nas utama itu tadi, dan menjelaskan lagi maksud nas tersebut. Setiap nas yang ditemui oleh para mujtahid tidak dilihat sebagai semuanya setaraf belaka, tetapi perlukan penelitian, pengamatan dan pengkajian  yang mana lebih utama dan yang mana sifatnya menyokong. Di sinilah peri pentingnya aqal untuk melihat perkara ini kerana nas al-Qur’an dan al-Hadith itu sifatnya hanyalah bahan mentah sahaja yang masih perlu diproses. Alat untuk memproses bahan mentah itu ialah aqal.

Sebab itu dalam pengajian ilmu mantiq, ilmu yang amat penting untuk memandu berfikir dengan baik dan merumuskan sesuatu perkara, yang suatu ketika dahulu di zaman kegemilangan Islam merupakan matapelajaran wajib yang malangnya hari ini amat kurang diajar samada di peringkat menengah atau universiti melainkan untuk segelintir pelajar aliran agama di sesetengah universiti, para penuntut diajar tentang bab Qiyas. Qiyas dalam ilmu mantiq tidak sama dengan Qiyas dalam ilmu usul fiqh. Dalam membicarakan tentang Qiyas, para pelajar diajar untuk membezakan antara “madah al-Qiyas” dan “surah al-Qiyas” di mana yang pertama itu merujuk kepada “bahan-bahan mentah” untuk difikirkan, manakala yang keduai tu pula merujuk kepada “teknik/tatacara/kaedah berfikir”.

Apabila membicarakan tentang berfikir, aqal hanyalah memproses bahan-bahan mentah itu sahaja dan ada ketikanya bahan-bahan mentah itu berada di luar seperti nas al-Qur’an dan al-Hadith, dan ada ketikanya juga bahan berfikir untuk dari dalam aqal itu sendiri.  Apa yang sering dilihat berlaku pertentangan sebenarnya melibatkan kepada teknik berfikir itu yang perlu diharmoniskan yang perkara-perkara yang seakan-akan berlawanan atau bertentangan. Naql itu ialah bahan mentah, manakala hukum tentang tidak boleh wujud pertentangan itu sebenarnya ialah kaedah berfikir.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 Mac 2018
\"\"
Scroll to Top