Akal Dalam Islam (Bhgn 3)

DALAM rancangan Agama dan Peradaban yang bersiaran di radio IKIMfm hari Rabu jam 12.15 tengahari, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd. Zaidi Ismail bercakap tentang “Akal Dalam Islam: Satu Tinjauan Epistemologi”.  Sebelum ini telah kita jelaskan bahawa sumber saluran ilmu dalam Islam ialah pancaindera yang sihat, khabar yang benar dan aqal.  Inilah pegangan di kalangan para ulama Ahlul Sunnah wal Jamaah yang melihat bahawa perlu integrasi antara akal dan wahyu (naql). Ahlul Sunnah wal Jamaah ialah kelompok yang sederhana yang tidak melampau ke mana-mana, yang berpegang kepada perintah Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud: “Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat pertengahan (yang adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammad SAW) pula menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”. Dalam ayat ini digunakan kalimah “umattan wasata” yang sering diterjemahkan sebagai “umat sederhana” atau pertengahan, wasatiyyah, atau dalam bahasa Inggeris disebut “moderation”. Cuma tidak ramai hari ini yang benar-benar mengerti apakah yang dimaksudkan dengan ummatan wasata? Bahkan generasi awal Islam pun tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan “ummatan wasata” itu. Lalu Baginda SAW menjelaskan dalam tentang hal ini yang difahami oleh para ulama merujuk kepada Ummatan wasata atau wasatiyyah bukan bermaksud “sederhana” yang  diukur dari segi kualiti kecemerlangan atau mediocre, tetapi ia bermaksud “al-adl” atau adil.

Anjuran untuk mengambil pendekatan yang pertengahan ini banyak disebut dalam al-Qur’an dan al-Hadith, antaranya dalam al-Qur’an Surah al-Furqan ayat 67 yang bermaksud: “dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak berlebihan, dan tidak pula kikir, dan perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian itu”. Dalam hadith juga  Baginda SAW ada bersabda yang mafhumnya: “Sebaik-baik perkara ialah yang pertengahan” (HR Baihaqi). Pertengahan merujuk kepada tidak melampau atau ekstrem iaitu tidak berpihak ke kiri dan tidak juga ke kanan, kerana ada di kalangan manusia yang mempunyai kerangka pemikiran yang melampau. Ada kelompok misalnya, yang menolak untuk menggunakan akal tetapi mahu berpegang kepada wahyu (naqal) semata-mata, ada pula yang hanya mahu berpegang kepada aqal semata-mata dan meletakkan wahyu itu di bawah aqal. Kedua-dua pandangan ini adalah melampau dalam tradisi ilmu Islam kerana pendekatan sederhana atau wasatiyyah ialah mengharmonikan kedua-dua pendekatan ini iatu dengan meletakkan wahyu di tempat paling utama dan tertinggi sekali, namun dalam masa yang sama menerima aqal selagi mana aqal itu tidak bersalahan atau bertentangan dengan wahyu.  Inilah integrasi naql-aqal yang wujud sejak awal Islam lagi yang diteruskan hingga ke hari ini sehingga ada sesetengah universiti tempatan di negara ini yang mengintegrasikan pendekatan naql-aql seperti UIAM, USIM dan lain-lain. Begitu juga dari segi aqidah, di sisi Ahlul Sunnah wal Jamaah mereka berpegang kepada Zat dan wujudnya Sifat-Sifat Allah, namun kelompok Mu’attilah berpegangan esktrem yang menolak wujudnya Sifat-Sifat Allah manakala kelompok Mujassimah pula menerima wujudnya Sifat-Sifat Allah secara mutlak hingga menjisimkan Sifat-Sifat Allah itu sepertimana makhluk. Kedua-dua kelompok Mu’attilah dan Mujassimah ini adalah kelompok melampau (ekstrem) yang jauh berbeza berbanding dengan Ahlul Sunnah wal Jamaah yang wasatiyah atau sederhana.

Dakwaan bahawa umat Islam, khususnya di kalangan kelompok Ahlul Sunnah wal Jamaah menolak aqal atau rasional berbanding kelompok Syiah, dan kerana itulah umat Islam mundur hari ini adalah dakwaan yang tidak benar. Begitu juga tuduhan kononnya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali RA (w.1111/505H) telah menjadi penyebab kepada runtuhnya budaya berfikir dalam masyarakat Islam silam hingga ke hari ini kerana bukunya Tahafut a-Falasifah yang mengkritik falsafah, juga tidak mempunyai asas-asas yang kukuh. Kemunduruan umat Islam hari ini bukan disebabkan oleh serangan Imam al-Ghazali terhadap ilmu falsafah, tetapi kerana banyak faktor-faktor lain. Begitu juga tohmahan kononnya ajaran Islam ini tidak menggunakan hujah akal adalah tuduhan palsu dan pembohongan semata. Hakikatnya generasi awal Islam telah berjaya menguasai, mentadbir, mengurus lebih daripada 2/3 bahagian dunia untuk suatu tempoh yang lama dan panjang – suatu keluasan yang amat luas dari Maghribi di utara benua Afrika hingga ke Indonesia di benua Asia dan suatu tempoh yang lama melebihi seribu tahun. Begitu juga dengan penganut Islam yang ribuan juta orang, sudah tentu kerana memiliki kekuatan akal untuk berhujah dan berdepan dengan tamadun asing yang bukan  Islam yang sudah lama bertapak lebih awal sehingga mampu menyakinkan mereka untuk memeluk Islam.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 27 Februari 2018

Kongsi artikel ini di:

Pentadbir Laman Web

Pentadbir Laman Web IKIMfm