Akademi al-Quran ar-Rayyan untuk Anak Autisme

KUALA LUMPUR, 14 April – Setiap ibu bapa mengidamkan anak yang soleh dan solehah sekurang-kurangnya untuk mendoakan kebaikan buat ibu dan ayah apabila mereka meninggalkan dunia ini kelak.

Aidil Fadzli Mesran yang merupakan Mudir Akademi al-Quran ar-Rayyan berkata penubuhan akademi itu bertujuan membantu ibu bapa untuk menghantar anak- anak autistik mempelajari al-Quran dan ibadah lain seperti solat dan sebagainya.

“Saya sendiri pada awalnya sukar untuk mencari pusat pengajian al- Quran untuk anak-anak autisme dan atas sebab itulah saya mengeluarkan simpanan sendiri menubuhkan akademi ar-Rayyan ini agar anak-anak ini turut dapat mempelajari kitab suci al-Quran.

Katanya demikian ketika menerima kunjungan Ketua Pengarah IKIM Datuk Prof. Dr. Azizan Baharudin dan 20 kakitangan ke akademi yang terletak di Sentul bersempena bulan kesedaran Autisme 2018 yang disambut pada April setiap tahun.

Datuk Prof Azizan berkata IKIM akan sentiasa memberi galakan dan sokongan moral terhadap apa juga usaha badan- badan tertentu dalam memberi kesedaran tentang autisme di kalangan masyarakat di negara ini.

Menurutnya lagi radio IKIMfm akan dijadikan platform dalam menyampaikan mesej dan maklumat yang tepat, jelas dan betul kepada masyarakat tentang autisme.

“IKIMfm akan terus memainkan peranan dalam menyebarkan kefahaman tentang autisme agar masyarakat lebih sedar dan peka terhadap anak-anak autistik ini serta memberi sokongan kepada ibu bapa agar tabah membesarkan anak- anak istimewa ini”.

Dalam kunjungan tersebut, Datuk Dr. Azizan meluangkan masa kira-kira satu jam beramah mesra dengan 30 orang kanak-kanak autistik yang mengikuti kelas pengajian al -Quran di akademi berkenaan.

Kongsi Artikel ini :
Scroll to top