Abu Hurairah R.A

APABILA menyebut nama Abu Hurairah, pastinya ramai dikalangan kita sudah mengenali beliau melalui namanya. Beliau merupakan orang yang paling banyak meriwayatkan hadith Baginda SAW. Dikatakan beliau meriwayatkan sehingga lebih 1600 hadith. Ketika zaman Jahiliyyah, nama sebenar Abu Hurairah ialah Abdi Syams, yang bermaksud ‘Hamba Matahari’. Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin berkongsi kisah mengenai Abu Hurairah.

Tatkala Allah SWT memuliakan dirinya dengan Islam dan ketika bertemu dengan Baginda SAW dan Baginda bertanya “siapa namamu?” Maka jawab beliau “Saya ialah Abdi Syams”. Lalu Baginda SAW bersabda “Bukan, nama kamu sekarang ialah Abdul Rahman”. Bermula saat itu, beliau dipanggil dengan nama Abdul Rahman. Bagaimanapun, beliau lebih dikenali dengan nama timangan ‘Abu Hurairah’ yang bermaksud bapa kepada kucing kerana pada usia mudanya, beliau mempunyai seekor kucing yang sangat disayanginya. Kucing tersebut dibawa ke mana jua beliau pergi sehinggalah teman-temannya memanggil beliau dengan panggilan Abu Hurairah. Nama tersebut menjadi semakin terkenal sehinggakan nama asalnya jarang-jarang disebut dan dikenali.

Beliau merupakan seorang yang sangat akrab dengan Rasulullah SAW dan Baginda memanggilnya dengan panggilan “Aba Hirr” merupakan singkatan kepada Abu Hurairah agar panggilan tersebut lebih akrab dan terkesan dengan kasih sayang. Abu Hurairah sendiri lebih gemar dengan panggilan Aba Hirr berbanding Abu Hurairah. Beliau pernah berkata “Kekasihku, Rasulullah SAW memanggilku dengan gelaran tersebut, kerana Hirr adalah kucing jantan sedangkan Hurairah adalah kucing betina. Jantan lebih baik daripada betina”.

Abu Hurairah memeluk Islam melalui Saidina Tufail bin Amru Al-Dausi yang pulang ke Makkah dan berdakwah kepada penduduk Bani Daus. Di kalangan mereka yang memeluk Islam ialah Abu Hurairah. Masyarakat Bani Daus ini tinggal di kampung mereka dan beramal dengan amalan Islam yang mereka perolehi melalui pendawah sehinggalah tahun ke-6 Hijrah, Abu Hurairah dan kaumnya berhijrah ke kota Madinah untuk bersatu dengan seluruh kaum Muslimin. Pemuda dari kalangan Bani Daus ini menghabiskan setiap waktunya untuk berkhidmat dan berdampingan dengan Baginda SAW. Beliau lebih memilih untuk tinggak di masjid berbanding tinggal di rumah. Beliau menjadikan Rasulullah SAW sebagai pengajar dan imam kepada dirinya.

Beliau mempunyai seorang ibu yang sudah tua. Ibunya tidak pernah berputus asa untuk mengajak Abu Hurairah kembali kepada agama nenek moyang mereka. Namun, Abu Hurairah juga setiap kali itu mengajak ibunya agar memeluk Islam. Abu Hurairah kemudian meninggalkan ibunya kerana enggan memeluk Islam. Beliau amat sedih meninggalkan ibunya.  Kesedihan itu menguasai diri Abu Hurairah sehingga tidak dapat dibendung lagi. Beliau kemudiannya bertemu dengan Baginda SAW dalam keadaan menitiskan air mata kerana sedih meninggalkan ibunya, apatah lagi beliau mendengar ibunya mengeluarkan kata-kata yang buruk terhadap Rasulullah SAW.

Tatkala Rasulullah SAW melihat Abu Hurairah dengan linangan air mata, Baginda kemudian bertanya “Mengapa dengan kamu wahai Abu Hrairah? Apa yang telah berlaku kepadamu?” Maka beliau menjawab “Aku tidak pernah berasa bosan dan jemu untuk menyeru ibuku memeluk agama Islam. Akan tetapi dia terus menolak ajakan dan pelawaanku. Hari ini, saat aku mengajaknya memeluk Islam, namun dia mengucapkan sesuatu yang buruk terhadap engkau, Ya Rasulallah. Berdoalah kepada Allah agar terbuka hati ibuku kepada Islam”. Maka Rasulullah SAW terus berdoa kepada Abu Hurairah. Setelah Baginda mendoakan kepada ibu Abu Hurairah, beliau terus kembali ke rumahnya dan beliau dapati pintu rumah telah terbuka. Beliau mendengar bunyi air seperti orang sedang mandi. Ibunya menegah beliau daripada masuk dan menyuruhnya agar tunggu di pintu rumah. Setelah ibunya selesai dan mengenakan pakaian, ibunya terus melafazkan kalimah Syahadah di hadapannya. Itulah detik gembira dalam hidup Abu Hurairah dan bagaimana berkatnya doa Rasulullah SAW.

Beliau ketika hayat Rasulullah SAW tidak pernah jemu untuk terus berdampingan dengan Baginda sehingga beliau katakana “Aku tidak pernah lihat sesuatu yang indah seperti Baginda SAW seolah-olah matahari beredar di sekitar wajah Baginda kerana terlalu ceria dan berseri-serinya wajah Baginda”.

Abu Hurairah selalu memuji Allah SWT kerana sentiasa memberi ruang buat beliau sentiasa berdampingan dengan Baginda SAW. Abu Hurairah merupakan orang yang sangat mencintai ilmu. Sebagaimana beliau mencintai ilmu buat dirinya. Beliau juga mahukan ilmu yang ada padanya sampai kepada orang lain. Beliau suka menyebar luaskan ilmu yang diperolehi daripada Rasulullah SAW. Salah satu daripada ilmunya ialah : Pada satu hari, saat beliau lalu di kawasan pasar, beliau berasa aneh dengan keadaan manusia yang sibuk dengan hal dunia dan tenggelam dalam urusan jual beli. Beliau kemudian berkata “Alangkah lemahnya kalian wahai penduduk Madinah”. Mereka kehairanan lalu dan bertanya mengapa Abu Hurairah beranggapan sebegitu. Maka beliau menjawab “Harta peninggalan Rasulullah SAW sedang dibahagikan, sedangkan kalian sibuk berada di sini. Apakah kalian tidak mahu berada di sana dan mengambil bahagian kalian daripada harta Rasulullah SAW”. Dengan penuh keinginan mereka bertanyakan di manakah lokasi pembahagian harta tersebut. Abu Hurairah kemudian memberitahu bahawa Baginda SAW sedang membahagikan hartanya di dalam masjid. Mereka kemudian meluru berlari ke masjid. Sedang itu, Abu Hurairah menantikan kepulangan mereka dari masjid. Mereka pulang dengan hampa dengan berkata kepada Abu Hurairah “kami sudah ke masjid, namun tidak ada apa yang dibahagikan”. Abu Hurairah lantas bertanya “Tidakkah kamu melihat sesiapa di sana?” Mereka menjawab “Ya, kami melihat ada yang sedang solat, membaca Al-Quran malah ada juga yang sedang mempelajari halal haram”. Abu Hurairah berkata “Alangkah ruginya andai kata kalian tidak tahu, itulah warisan Rasulullah SAW”.

Saat beliau di penghujung usia, beliau menangis saat ajal akan datang kepadanya. Orang bertanya kepadanya “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Abu Hurairah?” Katanya “Aku tidak menangisi dunia yang engkau huni ini. Akan tetapi aku menangis kerana jauhnya perjalanan dan sedikitnya bekal yang aku bawa. Aku kini di penghujung jalan yang bakal membawa ke syurga atau neraka. Aku tidak tahu ke mana aku di bawa”. Pernah Marwan bin Hakam menziarahi beliau saat penghujung usianya. Marwan mendoakan “Semoga Allah menyembuhkan engkau wahai Abu Hurairah”. Abu Hurairah menjawab “Ya Allah, aku menyukai perjumpaan denganmu. Jadikanlah perjumpaan ku ini indah. Maka, segerakanlah Ya Allah (berjumpa dengan-MU)”. Belum pun sempat Marwan bin Hakam melangkah meinggalkan rumah Abu Hurairah, beliau telah pun meninggal dunia.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 Julai 2017
Scroll to Top