Abdullah Ibn Abbas

SAIDINA Umar al-Khattab RA pernah berkata “dia adalah pemuda yang matang, mempunyai lisan yang suka bertanya dan hati yang berakal”. Pemuda yang dimaksudkan itu ialah Saidina Abdullah ibn Abbas. Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin 5.15 petang, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi mengenai Saidina Abdullah ibn Abbas.

Saidina Abdullah ibn Abbas memiliki kemuliaan tersendiri pada dirinya yang mungkin dicemburui oleh sesiapa sahaja. Beliau merupakan sepupu Rasulullah SAW yang lahir tiga tahun sebelum hijrah Baginda SAW. Allah SWT mengurniakan kemuliaan ilmu kepada beliau dan digelar ‘pendeta umat Nabi Muhammad’. Beliau juga dianugerahkan kemuliaan sifat taqwa serta seorang yang kuat beribadah. Dengan ilmunya yang melimpah ruah, beliau menyebarkannya kepada golongan tabi’in selepas kewafatan Baginda Nabi SAW.

Beliau merupakan seorang rabbani kepada umat Baginda Nabi SAW. Beliau merupakan orang yang paling mengetahui al-Quran serta takwil ayat-ayat al-Quran. Beliau mampu menyelami dan mengetahui tujuan serta rahsia yang terkandung dalam al-Quran. Abdullah ibn Abbas telah mempelajari dan menghafal 1660 hadith Baginda Nabi SAW. Hadith-hadith tersebut telah dikumpulkan oleh Imam al-Bukhari & Muslim dalam kitab sahih mereka. Selepas Abdullah ibn Abbas dilahirkan, beliau telah dibawa oleh ibunya bertemu dengan Baginda Nabi SAW. Lalu Baginda telah mentahnikkanyya dengan air liur Baginda Nabi SAW. Inilah anugerah Allah SWT yang diberikan kepada Saidina Abdullah ibn Abbas sehingga beliau menjadi seorang yang sangat cerdas, bijak serta mampu mengatasi situasi dan keadaan yang sukar untuk diatasi oleh orang lain. Beliau dikatakan oleh Saidina Umar sebagai ‘orang yang boleh menghilangkan kebuntuan-kebuntuan yang dihadapi oleh Para Sahabat’.

Tatkala pemuda Bani Hashim ini membesar, beliau sering mengikuti dan mendampingi Rasulullah SAW. Beliaulah yang menyiapkan air tatkala Rasulullah SAW ingin berwudhu’. Beliau sentiasa menyertai solat Rasulullah SAW. Setiap kali Baginda bermusafir, beliau sentiasa berada di belakang Baginda. Beliau dikatakan umpama bayang-bayang yang sering mengikuti Rasulullah SAW ke mana jua Baginda pergi. Dalam banyak keadaan, Saidina Abdullah ibn Abbas sering membawa hati yang hidup, akal yang jernih dan mengingati apa sahaja yang beliau lihat daripada perbuatan dan kata-kata Rasulullah SAW. Kelebihannya itu mampu mengalahkan semua alat rakaman yang wujud pada zaman moden. Allah berikan akal kepada beliau sehingga beliau dapat menghafal dan mengingati tiap-tiap kejadian yang berlaku.

Ibn Abbas pernah bercerita tentang dirinya. “Satu ketika, Rasulullah SAW hendak berwudhu’. Aku segera menyediakan air agar Baginda senang dengan apa yang aku lakukan. Tatkala Baginda hendak menunaikan solat, Baginda memberikan isyarat kepadaku supaya aku berdiri di sampingnya. Lalu aku pun berdiri di belakangnya. Tatkala selesai solat, Rasulullah SAW menoleh ke arah ku lantas bertanya mengapa aku tidak berdiri di sisinya. Aku mengatakan engkau adalah manusia terhormat dalam pandanganku dan aku tidak layak berada di sampingmu.” Ini contoh adab dalam kalangan manusia yang Allah SWT berikan hikmah kepada mereka.

Berkat doa Rasulullah SAW yang beberapa kali Baginda menuturkan doa itu buat Saidina Abdullah ibn Abbas “Ya Allah, berikan dia kefahaman agama dan berikanlah dia kelebihan untuk mentakwilkan al-Quran.” Dalam doa lain Baginda SAW mendoakan “Ya Allah, berikanlah dia hikmah kebijaksanaan.” Maka Allah telah mengkabulkan doa Nabi SAW sehingga Allah SWT mengurniakan kepada Saidina Abdullah ibn Abbas dengan kebijaksaan mengatasi kehebatan tokoh-tokoh bijak pandai yang lain.

Kehebatan Saidina Ibn Abbas dan kebijaksanaan beliau dapat dilihat tatkala beliau menyelesaikan isu kaum Saidina Ali yang berlalu meninggalkan Saidina Ali. Dengan kebijaksanaan beliau berjaya menemui kaum pengikut Saidina Ali itu untuk memberikan hujah-hujah beliau terhadap apa yang menganggu perasaan mereka tentang apa yang dilakukan oleh Saidina Ali. Hasil pertemuan Saidina Abdullah ibn Abbas dengan kumpulan yang telah meninggalkan Saidina Ali itu, maka beliau dengan hikmah yang dikurniakan oleh Allah kepada beliau, kefahaman yang mendalam serta hujah yang mantap telah menyebabkan dua puluh ribu orang kembali bergabung dengan Saidina Ali bin Abi Talib. Pemuda yang bernama Abdullah ibn Abbas ini telah menempuh semua jalan untuk mendapatkan ilmu dan mencurahkan seluruh keringat untuk meraihnya. Beliau telah meneguknya daripada wahyu sepanjang hidup Rasulullah SAW.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 Februari 2018
\"\"
Scroll to Top