950 Tahun Dalam 2 Muka Surat

SETIAP individu inginkan Syurga Allah SWT. Tetapi persoalannya, bagaimana cara kita untuk meraih syurga Allah SWT. Jadikan kerja dakwah kita sebagai satu cara untuk kita meraih syurga Allah SWT. Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari).

Sampaikan daripada Rasulullah SAW walaupun satu ayat. Mengajak orang lain melakukan kebaikan. Kita tidak akan dapat lakukan dakwah dan mengajak kepada kebaikan sekiranya hati dan diri kita penuh dengan prasangka. Apabila kita percaya dan mengaku yang kita banyak dosa, maka dengan itu baru kita mudah melakukan kerja dakwah. Sentiasa berfikiran nuntuk mejadi baik dan bukan hanya diri sendiri sahaja menjadi baik bahkan mengajak orang lain juga untuk menjadi baik dan diampunkan dosa.

Menerusi surah Yaasin, ada cerita orang yang masuk ke syurga hanya dengan satu ayat. Satu ayat dakwah yang disampaikan, maka dengan itu Allah SWT memberinya ganjaran syurga.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi kisah menerusi Surah Nuh melalui segmen Ibrah yang bersiaran minggu lalu di IKIMfm pada hari Selasa, 5.15 petang. 950 tahun Nabi Nuh AS berdakwah sepenuh masa kepada umatnya. Pelbagai cabaran yang kita perlu lalui untuk berdakwah walaupun ingin menyampaikan satu ayat daripada ayat-ayat Allah SWT.

Ustaz Syaari mengajak semua kita agar menjadikan Surah Nuh sebagai landasan untuk mengukuhkan motivasi dalam melaksanakan kerja dakwah kepada jalan Allah SWT.

Tujuan kita menjadikan Surah Nuh ini sebagai motivasi agar kita merenung kembali sedalamnya, adakah sampai seruan kita walaupun satu ayat kepada orang yang tidak pernah mendengar Islam.

Pertamanya, kita perlu betulkan pemikiran kita untuk berdakwah. Bukan kerana pangkat dan kedudukan kita lakukan kerja-kerja dakwah. Sekiranya hanya kedudukan kita menjadikan kita melakukan kerja dakwah, maka tugas dakwah kita tidak akan konsisten. Jadikan Nabi Nuh AS sebagai motivasi untuk lakukan kerja dakwah dan menyeru ke arah kebaikan. Nabi Nuh AS berdakwah kepada umatnya pada malam dan siangnya. Ini berpandukan daripada Surah Nuh, ayat 5 yang bermaksud : (Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: \”Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);

Nabi Nuh AS tidak melakukan kerja dakwah itu semata-mata hanya kerana pangkat dan kedudukan. Bukan sebagai jawatan nabi yang menjadikan Nabi Nuh AS kuat untuk melakukan kerja dakwah. Tetapi menginginkan orang yang menerima dakwahnya agar diampunkan dosa mereka oleh Allah SWT. Hal ini berpandukan ayat di dalam Surah Nuh, ayat 7 yang bermaksud : \”Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

Kerja dakwah yang dilakukan oleh Nabi Nuh AS ini agar umatnya diampunkan oleh Allah SWT. Inspirasi daripada Nabi Nuh AS sepaatutnya menjadi kekuatan kepada kita agar kerja dakwah seharusnya sentiasa berjalan bukan kerana kita bergelar ustaz dan ustazah. Tetapi fokus utama kita agar setiap individu mendapat hidayah daripada Allah SWT agar mereka juga diampunkan dosa oleh Allah SWT.

Jadikanlah kisah Nabi Nuh AS melalui surah Nuh sebagai satu rujukan yang lengkap kepada pendakwah. Nabi Nuh AS yang berdakwah secara saintifik. Nabi Nuh AS sentiasa merenung alam dan menjadikannya sebagai satu daripada seruannya. Nabi Nuh AS mendahului kaumnya dalam ilmu pengetahuan agar dakwah yang disampaikannya berkesan. Merujuk kepada ayat 14 & 16 Surah Nuh yang bermaksud : \”Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?. \”Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang). Nabi Nuh AS bercakap dan menyeru kepada umatnya dengan penuh ilmu dan pengetahuan.

Seseorang itu akan sentiasa bermotivasi untuk berdakwah apabila menjadikan matlamat menyelamatkan orang lain daripada melakukan dosa seterusnya mendapat azab daripada Allah SWT. Sekalipun terdapat pelbagai dugaan dan rintangan dalam melakukan kerja-kerja dakwah, Ustaz Syaari berpesan agar kita sentiasa maniskan wajah dengan senyuman. Jangan tinggalkan individu yang kita dakwah tanpa senyuman sekalipun dakwah kita tidak diterima. Teruskan berdoa agar setiap individu yang kita dakwah dapat menerima dakwah kita dan berubah ke arah kebaikan.

Sekiranya melihat kembali Surah Nuh ini, kita akan mendapati Nabi Nuh tidak pernah lupa untuk berdoa kepada Allah SWT agar kaumnya diselamatkan dan diampunkan oleh Allah SWT. Surah Nuh ini sebahagiannya adalah doa Nabi Nuh AS agar kaumnya diampunkan oleh Allah SWT.

Sesetengah indvidu apabila ditimpa ujian dan halangan daripada kerja dakwah mereka, tidak berdoa kepada Allah SWT, sebaliknya menjadikan medan lain sebagai tujuan untuk meluahkan segala kekesalan dan susah payah dakwah mereka.

Motivasi terahir yang disampaikan Ustaz Syaari menerusi Surah Nuh ini, sekalipun orang yang kita dakwah itu berjaya melarikan diri dripada kita dan terus-terusan mengendahkan seruan kita. Maka, teruskanlah dakwah dan tidak berhenti berdoa kepada Allah SWT. Sesungguhnya ujian dakwah yang kita hadapi pada watu ini tidaklah hebat sepertimana yang menimpa Nabi-nabi terdahulu serta orang-orang soleh.

Sentiasa melihat kesalahan diri sendiri sebagai ujian orang lain tidak menerima hasil dakwah kita. Terus-terusan memohon keampunan kepada Allah SWT agar diampunkan dosa kita termasuk insan-insan yang kita seru kepadanya ayat Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 Mac 2016
Scroll to Top