803 notifikasi MERS-CoV di Malaysia sejak Januari 2013

KUALA LUMPUR, 12 Jun: Sebanyak 803 notifikasi kes pesakit di bawah siasatan (PUI) MERS-CoV diterima Kementerian Kesihatan (KKM) dari seluruh negara bermula Januari 2013 hingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua notifikasi kes PUI MERS-CoV berkenaan disahkan bebas jangkitan MERS-CoV, kecuali satu kes positif yang dikesan April tahun lalu.

Katanya, walaupun kes positif pertama yang dikesan tahun lalu itu tidak berjaya diselamatkan, ia menguji keberkesanan pelbagai aktiviti kesiapsiagaan dan respons dilaksanakan KKM.

“Tindakan pantas dilaksana pelbagai pihak, berjaya membendung jangkitan itu tanpa mengakibatkan sebarang penularan dalam kalangan hubungan terdekat kepada kes, mahupun masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya kini melipatgandakan usaha memantau perkembangan situasi jangkitan MERS-CoV yang sedang melanda Korea Selatan secara rapi dan berterusan.

Katanya, pelbagai aktiviti kesiapsiagaan dan respons sudah dilaksana di semua peringkat KKM bagi menghadapi potensi penularan jangkitan itu di Malaysia.

Selain aktiviti saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara, beliau berkata, edaran kad amaran kesihatan turut dijalankan.

“Aktiviti saringan kesihatan di pintu masuk ini bertujuan mengesan pelawat yang menunjukkan tanda atau gejala penyakit berjangkit termasuklah Ebola dan MERS-CoV.

“Bagi MERS-CoV, tumpuan saringan juga kini terhadap pelawat yang tiba dari Korea Selatan, selain pelawat yang tiba dari semenanjung Arab.

“Pengesanan kes yang disyaki atau PUI MERS-CoV sama ada ketika saringan di pintu masuk antarabangsa, di hospital atau klinik, akan dirujuk untuk menerima pemeriksaan dan rawatan lanjut di hospital,” katanya.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my