77,000 mangsa banjir akan terima RM500 awal Mac

PUTRAJAYA, 27 FEB: Seramai 77,000 lagi mangsa yang terjejas banjir di seluruh negara yang belum menerima bantuan wang ehsan RM500 daripada kerajaan akan menerimanya awal Mac ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini, sekitar 33,000 mangsa bah itu sudah menerima bantuan sama yang disalurkan kerajaan sebelum ini.

“Kita sudah arahkan supaya bantuan wang ehsan kepada mangsa yang terjejas ini disegerakan memandangkan masih ada peruntukan tersedia,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Tindakan Pasca Banjir di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Tahjudeen Abdul Wahab.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincang, memperinci serta meneliti secara khusus mengenai pembentukan Model Pengurusan Bencana Negara pada masa depan.

Beliau berkata, mesyuarat itu nanti juga akan meneliti semula semua prosedur standart operasi (SOP) bencana yang digunapakai sekarang bagi membolehkan penambahbaikan dibuat.

Katanya, ia termasuk kajian menyeluruh berkenaan peranan dimainkan serta status Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai agensi yang mengurus tadbir bencana dan malapetaka ketika ini.

“Kita juga akan merujuk dan mengambil contoh SOP dan model pengurusan bencana daripada beberapa negara yang sering berdepan bencana dan malapetaka lebih besar seperti Filipina dan Amerika Syarikat.

“Kita akan belajar daripada mereka, teliti kaedah SOP yang digunakan mereka sebelum keputusan mengenai model itu nanti dibuat,” katanya turut memaklumkan akan berkongsi dengan negara ASEAN lain dari segi pengalaman dihadapi Malaysia serta langkah pengurusan banjir yang boleh dikongsi bersama.

Sementara itu, menyentuh mengenai penularan budaya ektremisme yang mula menyerap masuk dan menjadi ikutan sesetengah individu di negara ini, Muhyiddin berkata, ia sesuatu yang perlu ditangani dan harus dipandang serius semua pihak.

Katanya, budaya itu jika tidak dibendung dari awal hanya akan mengundang ancaman besar kepada negara pada masa depan.

Sehubungan itu, beliau menggariskan beberapa langkah dalam mendepani budaya ganas itu termasuk pendidikan kepada rakyat tentang kesannya, pemahaman dari sudut isu keselamatan dan kepentingannya, kerjasama orang ramai dalam membantu tindakan penguatkuasa serta keperluan penguatkuasaan lebih ketat.

Sumber BERITA HARIAN

80total visits,1visits today

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm