248 Pelajar Melanjutkan Pelajaran ke Mesir

KOTA BHARU 7 Mac – Seramai 248 pelajar di negeri ini bakal melanjutkan pengajian ke Mesir dalam bidang pengajian Islam, Bahasa Arab dan Usuluddin bermula pertengahan Mac nanti.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, daripada jumlah berkenaan 163 ialah pelajar lelaki dan 85 pelajar perempuan.

 

“Kesemua pelajar yang terpilih itu boleh memohon pinjaman daripada Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) dan hari ini kerajaan negeri memberi sumbangan sebanyak RM200 kepada setiap pelajar.

 

“Mereka semua akan bertolak pada 15 hingga 20 Mac nanti dan kita berharap mereka dapat menumpukan pelajaran bersungguh-sungguh dan menguasai bahasa Arab sepenuhnya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Keraian Pelajar ke Timur Tengah di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

 

Yang turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Kongsi artikel ini di: