23 maut letupan bom di Syria

BEIRUT : Sekurang-kurangnya 23 orang maut manakala 10 lagi termasuk orang awam cedera dalam satu letupan di Idlib, barat laut Syria.

Laporan oleh Pemantau Hak Asasi Manusia Syria menyebut, serangan berkenaan disasarkan kepada ibu pejabat kumpulan pemberontak di Idlib.

Menurut pasukan pemantau itu, letupan berkenaan dipercayai berpunca daripada bom kereta atau serangan dron.

Sehingga kini pasukan penyelamat masih meneruskan kerja mencari dan mengeluarkan mayat mangsa serta membantu mangsa yang cedera untuk keluar daripada runtuhan bangunan.

“Kebanyakan mangsa yang maut adalah anggota pasukan pemberontak dan tujuh orang awam,” kata kenyataan pasukan itu.

Wilayah Idlib ialah kubu kuat pemberontak di Syria dan bersempadan dengan Turki, salah satu penyokong kuat pasukan pemberontak yang menentang Presiden Bashar al-Assad.

Pasukan tentera Syria dengan dibantu rakan sekutu mereka memulakan serangan sejak Oktober lalu bagi menawan semula wilayah Idlib dan Hama.

SUMBER – Reuters

Kongsi artikel ini di: