15 ribu Warga Johor dan Singapura Kunjungi Karnival

collage-artikel-johor

JOHOR BAHRU – Biarpun hujan lebat pada sebelah petang, 15 ribu pengunjung dari negeri Johor dan Singapura  tidak melepaskan peluang bersama-sama IKIMfm di dalam penganjuran Karnival Mahabbah IKIMfm Johor 2014 yang berlangsung 25 hingga 27 April yang lalu. Bertempat di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru, program yang diadakan dengan kerjasama Institut Pembangunan dan Pengurusan Johor (IPPJ) merupakan kali keempat di negeri Johor.

Karnival kali ini dimeriahkan dengan beberapa acara seperti segmen ‘Dari Konti Ke Pentas’ yang bersiaran pada jam 10 pagi hari pertama lagi. Ustaz Basir Mohamed Al-Azhary mengisi slot rancangan Tarbiah diikuti pada sebelah petang bersama Dj Norhayati Paradi dan Ustaz Ebit Lew dalam rancangan ‘Usrah Nurani’.

Pada sebelah malam, penganjuran dimeriahkan dengan kehadiran Dato Ramli Sarip yang mengisi Konsert Mahabbah IKIMfm bersama Daqmie, pelantun suara bagi lagu “Tangis Sebatang Tamar” yang 14 minggu menjuarai Carta IKIMfm.

Peminat tidak melepaskan peluang beramah mesra bersama-sama penyampai IKIMfm seperti Dj Fairuz, Dj Norhayati, Dj Faiz, Dj Syafiq, Dj Mahathir, Dj Erwan dan Dj Wan Mazuani sepanjang karnival berlangsung selama tiga hari tersebut.

Penyelaras Karnival Mahabbah, Puan Fairuz Hj Noordin memberitahu, istimewanya Karnival Mahabbah IKIMfm kali ini mendapat sambutan daripada warga Singapura.

“Alhamdulillah, tahun ini kita mendapat ramai pengunjung karnival dari Singapura. Antaranya datang dari Tampines, Jurong, Woodlands, Bukit Batok, Hougang dan Clementi. Rata-rata mengharapkan agar IKIMfm dapat berkunjung ke Singapura pula pada masa akan datang,” katanya lagi.

Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm itu juga memaklumkan bahawa IKIMfm dijangka akan ke Seremban pada karnival yang sama bulan hadapan. 

Sementara itu, pentas karnival Mahabbah turut diserikan dengan pengisian rancangan Tahsinul Ibadah oleh Ustaz Fadzli Al Yamani yang terkenal dengan slot ‘Tahsinul Ibadah’. Selain daripada itu, Ustaz Muhadir Hj Jool, kumpulan Far East dan Qasidah Ahbab AlMawlid dari Kuching Sarawak memeriahkan penganjuran karnival pada kali ini.

Penaja utama Karnival Mahabbah IKIMfm pada kali ini adalah Majlis Agama Islam Negeri Johor melalui ‘Saham Wakaf Johor’. Selain daripada itu, Johor Land Bhd, Abqori Minda Genius, Puteri Alya, Dlyz Heritage turut bekerjasama sebagai rakan penaja.

Pertandingan Mewarna kategori kanak-kanak bersama Upin dan Ipin dan juga Pertandingan Pakaian Beragam mewarnai karnival pada hari kedua dan ketiga sebelah pagi. Kemunculan maskot Upin dan Ipin menjadi tumpuan pengunjung yang berkunjung ke Angsana Johor Bahru Mall.

IKIMfm mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung yang memeriahkan acara sepanjang tiga hari itu.

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my