1,303 SEKOLAH TERUSKAN PROGRAM DLP BAGI TAHUN 2018 – KPM

PUTRAJAYA,  4 Jan (Bernama) — Sejumlah 1,303 buah sekolah akan melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) tahun ini, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini.

KPM dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan meneruskan program DLP di 1,215 buah sekolah sedia ada dan telah memberi kelulusan kepada 88 buah sekolah baharu bagi pelaksanaan program berkenaan pada 2018.

Menurut kementerian itu, surat pekeliling Ikhtisas dan Garis Panduan Pelaksanaan DLP Tahun 2018 akan dikeluarkan pada minggu pertama Januari 2018.

“Semua 1,215 buah sekolah akan meneruskan program ini bagi kelas sedia ada dan boleh membuat pembukaan kelas baharu bagi Tahun 1 dan Tingkatan 1 sahaja, manakala bagi 88 buah sekolah baharu pula,  pembukaan kelas baharu adalah bagi Tahun 1 dan Tingkatan 1 sahaja,” kata KPM.

Menurut kenyataan itu, pembukaan kelas yang melaksanakan DLP bermula Ahad ini (7 Jan) bagi sekolah di Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor, manakala bagi negeri-negeri lain, pembukaan kelas yang melaksanakan program berkenaan bermula pada Isnin (8 Jan)

SUMBER-BERNAMA

Kongsi artikel ini di: