107 sertai tilawah, hafaz al-Quran peringkat kebangsaan 2018

KUALA LUMPUR, 28 Mac 2018 – Sejumlah 28 qari dan qariah akan mengambil bahagian pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2018 yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 6 April di Kompleks Islam Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, majlis anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut menyaksikan penyertaan 79 orang bagi kategori menghafaz al-Quran.

“Untuk penganjuran kali ini, semua peserta kategori tilawah diwajibkan membaca al-Quran secara bertaranum dengan dua jenis lagu ditetapkan secara berturut-turut dan ia hanya akan diketahui oleh peserta ketika proses pengundian ayat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tujuannya ialah supaya peserta lebih mendalami ilmu taranum dalam al-Quran dan ia pastinya memberi nilai tambah kepada peserta.

Penilaian MTHQK bertema ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’ itu akan dibuat 15 hakim bagi kategori tilawah dan 17 hakim bagi kategori menghafaz.

Johan qari dan qariah akan menerima wang tunai RM15,000, tambahan tunai RM10,000 untuk menunaikan ibadah haji, piala iringan dan sebuah kereta Proton Ertiga.

Bagi kategori menghafaz al-Quran, hadiah terbahagi kepada tiga dengan hadiah utama bagi johan lelaki dan wanita yang menghafaz Juzuk 1 hingga 30 berupa wang tunai RM15,000, tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji, piala iringan dan sebuah kereta Perodua Axia.

Johan tilawah dan menghafaz al-Quran itu akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 7 hingga 12 Mei ini.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my