10 Agensi Media Sertai #QuranHour

KUALA LUMPUR: Sepuluh agensi media utama di negara ini sepakat menjalin kerjasama menjayakan Program World #QuranHour yang akan berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 7 Jun depan.

Program bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari diilhamkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

Program World Quran Hour adalah puncak kepada program #QuranHour sepanjang tahun yang membawa inisiatif berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal melalui model 114 Surah dengan pendekatan QTT (Quran, Tadabur dan Tazakur)

Sementara itu, Pengasas WUIF, Datuk Husamuddin Yaacub, berkata objektif utama program #QuranHour adalah untuk memastikan umat Islam memahami, berinteraksi dan mengamalkan pembacaan al-Quran.

Oleh itu katanya, setiap agensi media terbabit akan membentuk sekretariat membantu memudahkan perjalanan program.

Beliau berkata, tahun lalu, program itu berjaya mencapai 357 juta penonton di media sosial.

“Insya-Allah, program kali ketiga ini akan lebih teratur, malah dijangka lebih daripada satu juta penonton dari 100 negara di seluruh dunia akan mengikutinya menerusi media sosial,” katanya.

Katanya pada sesi Majlis Taklimat Sinergi Media yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak di Ibu Pejabat Utusan Melayu (Berhad).

Agensi media yang hadir pada dan turut melafazkan ikrar kerjasama adalah Kumpulan Utusan (Utusan Malaysia dan Kosmo), Kumpulan NSTP (New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro), Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd (Sinar Harian, Sinar Online dan Sinar TV), Astro, Kumpulan Media Prima, The Star, RTM, Bernama, Tv AlHijrah dan IKIMfm.

Selain World #QuranHour, Malaysia #QuranHour akan diadakan di Masjid Tuanku Zainal Abidin di Putrajaya pada Zulhijah ke-18 (30 Ogos) bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.

 

Kongsi artikel ini di: